Cikgu Lerry Menang RM 5000 Anugerah Guru Inspirasi

LERRY DAVID , guru Bahasa Melayu Kolej Vokasional Keningau, telah terpilih sebagai salah seorang pemenang Anugerah Guru Inspirasi Kebangsaan yang ditaja oleh Mcdonald’s.

Cikgu Lerry telah menerima anugerah tersebut di Festival Hari Guru Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan, Bachok, pada 14 Mei 2022.

Encik Lerry telah memenangi wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia lima ribu, trofi dan sijil. Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia iaitu Dr. Mohd Radzi Md Jidin.

Lerry David mula melakar nama apabila mewakili Malaysia sebagai pembentang di persidangan dalam talian yang berpusat di Tokyo, Jepun, pada Disember 2020.

Dengan inovasi aplikasi mudah alih yang telah diciptanya, dia berjaya melayakkan diri sebagai finalis pertandingan geran kebangsaan yang dikenali sebagai Cikgu Kickstart Award pada tahun 2021.

Dia telah memenangi RM 2000 semasa pertandingan tersebut. Pada Januari 2022, Cikgu Lerry membentang aplikasi ini di persidangan maya yang dianjurkan dari New York City, Amerika Syarikat.

Selain daripada itu, Cikgu Lerry juga merupakan pengurus pasukan bola tampar kolej tersebut yang pernah memenangi kejohanan kebangsaan pada tahun 2019.

Dia juga bertugas sebagai ketua warden di KV Keningau yang memerlukan banyak pengorbanan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar terutamanya semasa musim pandemik.

Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, pengarah kolej itu, mengucapkan tahniah kepada Cikgu Lerry kerana usaha dan pengorbanannya sebagai seorang guru yang wajar diberi pengiktirafan.

Dia bersyukur kerana Cikgu Lerry terpilih sebagai pemenang anugerah berprestij ini dan berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada guru-guru lain di kolej itu serta para pelajar.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *