Op Selamat : Kemalangan Jalan Raya Di Sabah Meningkat Tahun Ini

KOTA KINABALU, 10 Mei : Kes kemalangan jalan raya sempena Op Selamat 18/22 di Sabah meningkat pada tahun ini iaitu sebanyak 508 kes berbanding hanya 472 kes tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata jumlah itu meningkat sebanyak tujuh peratus atau 37 kes sepanjang Op Selamat yang berakhir pada 8 Mei lepas sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

“Bagaimanapun kes kemalangan maut menunjukkan penurunan iaitu hanya enam kes direkodkan tahun ini berbanding 14 kes tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Idris berkata sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat bermula 29 April itu, Polis Sabah turut mengeluarkan sebanyak 16,376 saman atas pelbagai kesalahan berbanding 16,969 saman tahun lepas.

Beliau berkata sebanyak RM65,300 kompaun juga dikutip sepanjang tempoh berkenaan manakala 33 kes tangkapan melibatkan beberapa kesalahan antaranya melibatkan kesalahan Akta Pengangkutan Jalan (30 kes), Akta Kanun Keseksaan (dua kes) dan Akta Pendaftaran Negara (satu kes).

“Walaupun Op Selamat 18/22 telah berakhir, pihak polis akan terus mengambil pendekatan yang maksimum berkaitan keselamatan lalu lintas dengan penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan kadar kemalangan di Sabah menurun,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *