Banjir Sabah: 49 Kampung Terjejas Di Beaufort & Tenom

Foto Facebook

KOTA KINABALU, 10 Mei : Sebanyak 49 kampung di daerah Beaufort dan Tenom terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam hingga tengah malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu sebanyak 36 kampung terjejas di Beaufort dan 13 kampung terjejas di Tenom akibat bencana itu.

“Hujan yang lebat bermula pada petang semalam dianggarkan pada jam 1.30 petang sehingga tengah malam menyebabkan paras air Sungai Padas dan Sungai Pegalan meningkat.

“(Bagaimanapun) keadaan cuaca di daerah Beaufort pagi ini cerah, manakala di Tenom mendung,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu tiada pusat pemindahan dibuka di Beaufort setakat pagi ini dan empat pusat pemindahan telah dibuka di Tenom sebagai langkah berjaga-jaga iaitu di Kampung Mandalalom, Kampung Ponontomon, Kampung Kanar dan Dewan Jinuin Jimin.

Selain itu, lima jalan utama di Beaufort terjejas iaitu Jalan Simpang 4 Chan Furniture yang tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan serta Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata, Jalan Kampung Laboi dan Jalan Kampung Suasa hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan berasingan memberitahu terdapat kejadian jalan runtuh di KM36.2 Jalan Tenom Kuala Tomani di daerah Tenom ekoran hujan lebat dan banjir di daerah tersebut.

“Jalan tersebut tidak boleh dilalui, sehubungan itu pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kuala Tomani Marais, Jalan Kalibatang Baru dan Jalan Marais.

“Sebagai langkah keselamatan, penutupan jalan dan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilakukan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *