Bas ekspres Di Sabah Dibenarkan Membawa Penumpang Dengan Kapasiti Penuh

Bas ekspres di Sabah dibenarkan membawa penumpang dengan kapasiti penuh bermula Jumaat ini.

KOTA KINABALU: Selepas kira-kira dua tahun berada dalam keadaan “kritikal” pengusaha bas ekspres di Sabah kini sudah boleh “bernafas sedikit” apabila dibenarkan membawa penumpang dengan kapasiti penuh bermula Jumaat ini.

Presiden Majlis Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC) Donald Hanafi berkata, berita gembira itu dijangka ditambah dengan kehadiran penumpang yang ramai kerana masing-masing mahu pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini.

Katanya, selain kebenaran membawa penumpang dengan kapasiti penuh, pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah juga memberi lampu hijau untuk menaikkan kadar tambang sebanyak 10%.

Presiden SEBOC Donald Hanafi.

“Kami sangat bersyukur kerana sudah dua tahun pengusaha bas ekspres di Sabah ini kritikal, pendapatan tidak cukup, mahu bayar kakitangan pun tidak mampu.

“Selain itu, kami juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kelonggaran ini dan mudah-mudahan selepas ini, kami akan dapat menampung semula perbelanjaan yang “hilang” sejak dua tahun lalu,” katanya kepada FMT.

Ketika ditanya mengenai kenaikan tambang, Donald berkata, kenaikan berkenaan hanya dikenakan sempena musim perayaan ini, iaitu bermula 29 April hingga 7 Mei depan.

Bagaimanapun katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan tiket dengan harga asal boleh membelinya secara dalam talian sebelum 29 April.

“Saya juga ingin maklumkan, tempat duduk penumpang untuk Jumaat ini telah penuh, mungkin disebabkan orang ramai ingin pulang awal ke kampung, lebih-lebih lagi pada hari itu cuti persekolahan telah bermula.

“Kenaikan tambang itu sebenarnya tidaklah begitu membebankan, hanya naik 10% dan ia hanya untuk tempoh 29 April hingga 7 Mei, selepas itu harga kembali kepada asal,” katanya.

Sementara itu, Donald berkata, walaupun kebenaran untuk membawa penumpang dalam kapasiti penuh diberikan, namun mereka kini mempunyai masalah kekurangan bas.

“Ketika pandemik sejak dua tahun lalu, operasi kami tidak menentu dan kebanyakannya tidak beroperasi langsung sehingga menyebabkan banyak bas mengalami kerosakan.

“Sehubungan itu kami memintalah pihak LPKP supaya mengeluarkan Lesen Pelepasan Sementara (LPS) agar kami dapat menggunakan bas-bas persiaran yang kini bersiap sedia untuk digunakan sekiranya diberi kebenaran.

“Kebiasaannya untuk jadual perjalanan pada waktu malam, kira-kira 20 bas akan bergerak dari Terminal Bas Bandaraya (Utara) ke Pantai Timur dalam satu-satu masa tetapi kini ia berkurangan.

“Kami harap LPKP akan mengambil perhatian mengenai masalah kekurangan bas ini dengan mengeluarkan LPS kepada operator. Kita tahu ramai yang ingin balik kampung sempena Aidilfitri tahun ini, kasihan pula jika mereka tidak dapat pulang kerana kekurangan bas,” katanya. – FMT

Sama-sama kita nantikan sidang media petang ini.Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *