Pengeluaran Khas KWSP: Perlu Tunggu Lebih Lama Untuk Guna Akaun 2 Selepas Ini

Memandangkan ini melibatkan semua pengeluaran khas, KWSP berkata mereka yang pernah mengeluarkannya sebelum ini juga perlu menunggu lebih lama kerana jumlah pengeluaran mereka lebih tinggi.

KUALA LUMPUR : Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah habis simpanan dalam Akaun 2 berikutan pengeluaran khas perlu menunggu lebih lama sebelum mereka layak mengeluarkan simpanan untuk tujuan perumahan, perubatan atau pengajian.

Ini membabitkan mereka yang terpaksa mengeluarkan wang daripada Akaun 1 untuk menambah nilai yang dalam akaun lain bagi mencukupkan jumlah RM10,000, atau mengeluarkan keseluruhan jumlah daripada akaun pertama.

Akaun 1 adalah simpanan persaraan, manakala simpanan dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk tujuan perubatan, pengajian tinggi untuk diri sendiri dan anak-anak, dan perumahan.

Pada masa ini, 70% daripada caruman bulanan dimasukkan ke dalam Akaun 1 dan selebihnya dalam Akaun 2.

Menurut KWSP, ahli perlu menggantikan semula semua amaun yang dikeluarkan bawah pengeluaran khas dengan tambahan 20%.

“Caruman baharu yang diterima akan dikreditkan 100% ke dalam Akaun 1 termasuk tambahan 20% lagi daripada amaun yang telah dikeluarkan.

“Setelah penggantian semula selesai, caruman ahli akan kembali seperti biasa (70% ke dalam Akaun 1 dan 30% ke dalam Akaun 2),” menurut KWSP di laman sesawangnya.

Jadi, jika jumlah caruman KWSP bulanan seseorang adalah RM500, kesemuanya akan dimasukkan ke Akaun 1 selama dua tahun (menjadikan jumlahnya RM12,000), sebelum 30% daripada caruman itu disalurkan semula ke Akaun 2.

Memandangkan ini melibatkan semua pengeluaran khas, mereka yang pernah mengeluarkannya sebelum ini juga perlu menunggu lebih lama kerana jumlah pengeluaran mereka lebih tinggi.

KWSP berkata, rasional di sebalik langkah ini adalah untuk “memastikan ahli mempunyai simpanan selepas persaraan”.

“Tambahan 20% yang ditetapkan adalah berdasarkan anggaran kehilangan/kerugian dividen ke atas jumlah pengeluaran tersebut dengan purata 5% dividen tahunan bagi penggantian yang dijangka mengambil masa hingga 4 tahun, tertakluk kepada jumlah caruman ahli dan konsistensi mencarum,” katanya.

Tambahnya, ini bagi memastikan simpanan dapat “dibina semula dengan cepat dan memanfaatkan gandaan dividen, selain mengimbangi antara keperluan mendesak semasa dan simpanan masa hadapan”.

Pada 15 April, KWSP mengumumkan telah menerima 5.3 juta permohonan berjumlah RM40.1 bilion bawah kemudahan pengeluaran khas itu, iaitu dua minggu selepas permohonan dibuka.

Pembayaran dimulakan semalam dan permohonan pengeluaran bawah skim ini akan ditutup pada 30 April. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *