Dua Kali Ramadan Pada Tahun 2030

RIYADH: Umat Islam dijangka menyambut bulan suci Ramadan dua kali setahun pada 2030.

Perkara itu diramalkan ahli astronomi Arab Saudi, Khaled al-Zaqaq menerusi video disiarkan di akaun Twitter rasminya.

Portal Alarabiya News melaporkan, Khaled berkata, perkara itu berlaku disebabkan fakta kalendar Hijrah Islam berdasarkan kitaran bulan, manakala kalendar Gregory menandakan laluan bumi mengelilingi matahari.

Katanya, perbezaan antara dua-dua kalendar itu menyaksikan Ramadan jatuh dua kali dalam tahun Gregory, kira-kira setiap 30 tahun.

“Kali terakhir ia berlaku pada 1997 dan sebelum itu pada 1965. Ia berlaku lagi pada 2063.

“Pada tahun Hijrah 1451 Hijrah, Ramadan bermula pada 5 Januari 2030 dan pada 1452 Hijrah pula jatuh pada 26 Disember 2030,” katanya.

Menurutnya, fakta itu menyaksikan umat Islam berpuasa 36 hari pada 2030.

“Bulan penuh 30 hari untuk 1451 Hijrah dan enam hari untuk 1452 Hijrah.

“Tahun Hijrah berlangsung 354 atau 355 hari, bermakna ia tidak sejajar dengan kalendar Gregory sebanyak 365 hari.

“Ini bermakna Ramadan jatuh dalam musim berbeza setiap tahun dan berjalan dalam kitaran 32 tahun,” katanya.

Beliau turut meramalkan, Ramadan 1449 Hijrah yang bermula pada 2028 akan berlangsung pada pertengahan musim sejuk.

“Pada 1466 Hijrah, bersamaan dengan 2044, bulan suci bermula semasa kemuncak musim panas.

“Puasa Ramadan diperhatikan dari matahari terbit hingga terbenam bermakna tempoh paling lama berpuasa berlaku apabila Ramadan pada musim panas dan paling pendek apabila ia jatuh pada musim sejuk,” katanya. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *