Gantung Wakil Rakyat Lompat Parti, Bukannya Kawal Keahlian – Shafie

Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Wakil rakyat yang lompat parti bukan sekadar perlu meletak jawatan sebaliknya, perlu digantung daripada bertanding selama dua penggal.

Demikian cadangan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengenai Akta Anti Lompat Parti.

Beliau mencadangkan mana-mana wakil rakyat yang didapati bersalah dengan bukti yang jelas oleh badan seliaan undang-undang Anti Lompat Parti ini tidak dibenarkan bertanding atas mana-mana kerusi sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) selama sekurang-kurangnya dua penggal.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen hari ini.

Berdasarkan akta ini, wakil rakyat harus diminta untuk meletak jawatan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dengan tujuan mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Beliau berkata, ini akan mencapai keseimbangan antara kebebasan untuk bersekutu dan keperluan untuk menghormati keputusan pilihan raya dan menghormati kepercayaan dan mandat rakyat.

Menurutnya, pindaan adalah keterlaluan kerana ianya tidak jelas mengapa Akta Pindaan Perlembagaan Kerajaan No 3 Akta (2022) merujuk kepada keahlian parti politik dan bukannya mengawal selia atau melarang lompat parti politik. Fasal 2 (b) nampaknya berlebihan dan ia terlalu luas.

Pindaan ini lebih kepada memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengenakan sekatan ke atas hak untuk menjadi ahli dalam parti politik yang diwakili di Dewan Rakyat dan DUN.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, situasi ini tidak seharusnya berlaku kerana isu sekarang adalah memastikan mana-mana ahli politik tidak melompat parti yang mereka wakili semasa Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kita seharusnya membincangkan langkah untuk mencegah mereka melompat dan bukan untuk mengawal keahlian parti politik mereka.

“Daripada kita pinda Akta 10(3), kita harus meminda Perkara 10(2), 10(2)(c), Perkara 48(4) dan 48(6).

“Kita harus mengambil berat tentang peraturan keanggotaan Dewan Rakyat oleh undang-undang persekutuan dan keanggotaan DUN oleh undang-undang negeri dan bukan untuk mengawal keahlian mereka dalam mana-mana parti.

“Penting bagi kita selaku sebahagian dari ahli-ahli yang menjadi penggubal dasar dan juga undang-undang di dalam Dewan diberikan taklimat dan penjelasan sebaiknya,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *