KUALA LUMPUR: Lapan pengawal keselamatan warga asing ditahan kerana menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu untuk bekerja di beberapa lokasi sekitar Shah Alam, Selangor.
Pengarah Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Nooruladzim Ateman berkata, mereka dari Basilan, Filipina dan berusia antara 22 hingga 48 tahun ditahan dalam operasi membabitkan 12 pegawai dan anggota penguat kuasa hari ini.
Katanya, operasi khas itu menyasarkan pengawal keselamatan yang disyaki menggunakan MyKad palsu atau milik orang lain, dijalankan serentak di tiga lokasi termasuk satu fasiliti sukar sekitar Shah Alam.
“Dalam soal siasat awal, lapan lelaki itu mengaku mereka mendapatkan kad pengenalan daripada ejen pada harga RM250 hingga RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, katanya, berlaku pergelutan membabitkan penguat kuasanya dan tiga pengawal keselamatan di satu lokasi serbuan, berikutan cubaan tahanan untuk melarikan diri.
“Bagaimanapun, ketangkasan anggota operasi membolehkan mereka ditahan dan semua tahanan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
“Semua tahanan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost