(VIDEO) Penjenayah Panjat Bumbung Elak Ditahan Di Keningau

Tangkap layar video tular suspek memanjat bumbung rumah elak ditahan.

KENINGAU : Cubaan seorang penjenayah melarikan diri melalui bumbung selepas dikesan memecah masuk sebuah rumah di Taman MDK 2, di sini, malam tadi gagal apabila dia terjatuh sebelum ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 9 malam dan sepasukan anggota polis dikerah ke lokasi.

“Suspek berjaya ditahan oleh orang awam apabila dia terjatuh dari bumbung rumah lalu diserahkan kepada polis.

“Hasil pemeriksaan polis terhadap badan dan beg pinggang yang dipakai suspek menemui beberapa barangan milik tuan rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, pemeriksaan terhadap keadaan fizikal suspek tidak mengesan sebarang kecederaan serius.

Menurutnya, saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek pula didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan kes pecah rumah.

“Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, pihak polis berterima kasih kepada orang awam yang membantu sehingga tertangkapnya suspek terbabit.

Terdahulu, kejadian itu dirakam penduduk kawasan perumahan berkenaan sebelum tular di laman sosial Facebook, hari ini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *