Bonus RM500 Untuk Penjawat Awam Sabah Sempena Aidilfitri

Hajiji Noor

TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor hari ini mengumumkan pembayaran bonus RM500 kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah sempena sambutan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan tahun ini.

Katanya, pesara juga akan menerima separuh daripada jumlah berkenaan dengan pembayarannya dibuat sebelum sambutan Hari Raya.

Pengumuman itu dibuat selepas beliau menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 200 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM18.2 juta untuk pembinaan semula rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kebakaran pada 17 Mac di sini dan pada 2015 di Semporna.

Katanya, lebih 1,000 ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran di kedua-dua lokasi berkenaan akan mendapat manfaat daripada peruntukan berkenaan.

Hajiji berkata, daripada RM18.2 juta peruntukan itu, sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan kepada 608 KIR rakyat tempatan di Tawau untuk membina semula rumah mereka manakala sejumlah RM8.2 juta adalah untuk pelaksanaan segera projek membabitkan kerosakan harta benda dan infrastruktur di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

“Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib mereka yang dalam kesusahan dan sempena Ramadan yang mulia ini, saya yakin bantuan ini dapat melegakan mereka yang terjejas,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *