‘Shopping’ Guna Kad ATM Orang Lain, Wanita Ditahan

Suspek ditahan selepas berbelanja gunakan kad ATM orang lain. – Foto Ihsan PDRM

KENINGAU: Tindakan seorang wanita berbelanja sakan menggunakan kad ATM yang ditemuinya membawa padah apabila dia ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, hari ini.

Wanita berusia 33 tahun terbabit ditahan selepas didapati membelanjakan sebanyak RM1,365 dari akaun mangsa di beberapa pasar raya serta stesen minyak di sekitar daerah Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa membuat laporan kehilangan kad ATM Bank CIMB miliknya yang dipercayai tercicir semasa berada di Keningau.

Katanya, hasil semakan melalui aplikasi ‘CIMB Clicks’ mendapati, wang di dalam akaun miliknya itu berkurangan dan terdapat beberapa transaksi pembelian dibuat secara ‘Pay Wave’.

“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil berjaya menahan seorang wanita tempatan.

“Siasatan awal mendapati, suspek bertindak sedemikian kerana mahu membeli barang keperluan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, siasatan kes masih dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Sehubungan itu, Nor Rafidah menasihatkan orang ramai yang tercicir kad ATM supaya segera melaporkan kepada pihak bank.

Katanya, ia bagi memastikan kad ATM yang tercicir itu tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *