Penyampai Radio Tawau FM Mohon Maaf Siar Azan Maghrib Awal 4 Minit

Penyampai radio mohon maaf secara peribadi di Facebook miliknya.

TAWAU : Penyampai radio Tawau FM, Mohd Safwan Junit membuat permohonan maaf terbuka susulan kesilapannya menyiarkan azan maghrib empat minit lebih awal.

Mohd Safwan menerusi laman Facebook menjelaskan bahawa berlaku kesilapan teknikal apabila azan maghrib disiarkan dua kali iaitu pada 6.16 petang dan 6.20 petang Ahad.

“Saya, Mohd Safwan bin Junit, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan maghrib telah disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.

“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya, menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu,” katanya.

Dia menegaskan perkara yang berlaku itu disebabkan kesilapan teknikal dan dirinya sendiri.

Oleh itu, Mohd Safwan memohon maaf secara peribadi kepada warga Tawau yang terkesan dengan situasi tersebut.

“Kesilapan ini, adalah kesilapan dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau atau Tawau FM.

“Yang baik datangnya dari Allah dan yang kurang itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Mohon ‘share’ permohonan maaf ini,” ujarnya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *