Penyanyi Nasyid Tanam Ganja Untuk Kegunaan Sendiri

Pokok ganja yang dirampas

KUALA LUMPUR: Penyanyi nasyid yang ditahan kerana menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini, kelmarin tidak terbabit dalam aktiviti memproses dadah mahupun pengedaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan polis setakat ini mendapati, pokok ganja yang ditemui itu adalah untuk kegunaannya sendiri.

“Hasil soal siasat dilakukan, pokok ganja itu tidak dijual sebaliknya ditanam untuk kegunaan sendiri.

“Suspek dipercayai menanam pokok ganja itu dengan membeli sendiri benih dan mengeringkannya untuk kegunaan sendiri,” katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Ditanya siasatan mengenai sumber suspek mendapatkan bekalan benih pokok ganja itu, beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ia diperoleh daripada pembekal secara dalam talian.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

Tambah beliau, polis akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sebaik siasatan selesai.

Harian Metro semalam melaporkan, kegiatan penyanyi nasyid yang juga komposer muzik menanam pokok ganja terbongkar selepas kediamannya diserbu polis.

Dalam serbuan pada 5.30 petang, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *