Sanggup ‘Terbang’ Dari Sabah Hadiri Konvokesyen Anak

Masrani Awang bersama ibunya Rosmiati Arase, 64, pada Majlis Konvokesyen Universiti Antarabangsa Al-Bukhary (AIU) yang julung kali diadakan di kampus Alor Setar.

ALOR SETAR: “Kemunculan ibu di dewan konvokesyen dari Sabah cukup menggembirakan hati kerana sebelum ini ibu beritahu dia tak jadi datang tetapi tiba-tiba ada depan mata,” kata Masrani Awang, 26.

Masrani adalah penerima Anugerah Khas Sharifah Rokiah dan Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) yang berlangsung di sini, hari ini.

Katanya, sebaik melihat ibunya, Rosmiati Arase, 64, berada dalam dewan, dia sebak malah lebih bersemangat untuk meraikan hari bersejarahnya.

Katanya, sejak belajar di universiti itu sejak tiga tahun lalu dia langsung tidak pulang ke Sandakan, Sabah atas kekangan kewangan dan pandemik Covid-19.

“Saya hanya berhubung dengan bapa Awang Abdullah, 70 dan ibu untuk meminta restu.

“Saya bersyukur kerana memperoleh kejayaan ini yang sememangnya milik ibu dan ayah kerana mereka berdua yang membesarkan saya dengan hanya berniaga pisang goreng serta keropok lekor di tepi jalan.

“Ketika mula datang ke sini, saya terbang seorang diri dari Sabah dan nekad belajar bersungguh-sungguh untuk tidak mahu mengecewakan ibu bapa, ” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen itu turut dihadiri pengasasnya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan Canselor AIU, Profesor Muhammad Yunus.

Graduan jurusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran itu berkata, banyak cabaran yang dilaluinya sepanjang belajar di universiti berkenaan.

Sementara, Rosmiati berkata, perasaan sedih dan sebak dirasainya sebaik melihat anak sulungnya meraih kejayaan di atas kesungguhannya.

“Setiap kali solat dhuha dan solat hajat setiap kali tengah malam Jumaat, mak cik selalu mendoakan kejayaannya walaupun kami berjauhan.

“Alhamdulillah.. Allah sudah makbulkan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor AIU Profesor Datuk Dr Abd Aziz Tajuddin berkata, universiti itu mempunyai 900 penuntut dari 56 negara di serata dunia.

Beliau berkata, 80 peratus penuntut universiti itu terdiri dari rakyat tempatan manakala selebihnya penuntut luar negara.

“Ini adalah konvokesyen yang pertama kali diadakan membabitkan seramai 51 pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda mana 94 pelajar di peringkat Ijazah,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *