Ada Konspirasi Kenakan Bung & Isteri, Kata Saksi

Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad dibicarakan atas tuduhan rasuah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini yang mendengar perbicaraan kes rasuah membabitkan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, berhubung pelaburan FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad diberitahu terdapat konspirasi untuk mengenakan pasangan suami isteri itu.

Perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, yang merupakan saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah pasangan itu berkata, beliau merasakan wujud konspirasi itu semasa rakaman percakapannya diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Jun 2016.

“Yes, I can feel that…sebab dia (pegawai SPRM) kata ‘kami akan panggil kamu lagi untuk rakam percakapan’ kerana apa saya cuba cakap pada hari pertama (22 Jun 2016) rakaman percakapan itu diambil tidak diterima,” katanya ketika disoal peguam K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, semasa perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Saksi pendakwaan ke-25 itu dipanggil semula untuk disoal balas, selepas dianggap saksi belot dalam kes pendakwaan mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.

Kepada soalan Kumaraendran, Norhaili berkata, semasa beliau dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya pada 22 Jun 2016, beliau tidak dimaklumkan mengenai siasatan yang dijalankan pegawai SPRM.

Bagaimanapun, saksi utama pendakwaan itu bersetuju dengan Kumaraendran bahawa rakaman percakapan itu perlu diambil pegawai SPRM kerana ia berkaitan pelaburan FELCRA dalam Public Mutual.

Kumaraendran: Saya cadangkan ketika kamu memberi keterangan kepada pegawai SPRM pada 22 Jun 2016, mereka menyatakan keterangan kamu itu adalah “nonsense” dan “rubbish”.

Norhaili: Saya tidak pasti ayat (sebenar) itu, tetapi ia berbunyi seperti itu.

Kumaraendran: Setuju kalau saya katakan kamu berasa sangat tertekan, beremosi dan terganggu apabila pegawai-pegawai SPRM ini menyuruh kamu mengaku bahawa Bung dan Zizie menerima rasuah berkaitan dengan pelaburan unit amanah Felcra itu?

Norhaili: Ya.

Disoal peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Bung, bagaimana perasaan Norhaili apabila hadir ke pejabat SPRM, saksi itu berkata, beliau sangat takut kerana ini pengalaman pertamanya.

Kepada soalan Ridha Abdah, saksi itu berkata, beliau telah memberi keterangan panjang lebar ketika disoal pegawai SPRM, tetapi apabila pemeriksaan laporan dibuat, “tidak semua keluar”.

“Apa yang saya cerita (beri keterangan) panjang, tetapi ‘end of the day’ tengok ‘report’ tak semua dikeluarkan. Ada beberapa perkara yang tidak ada dalam laporan itu,” katanya.

Menurut Norhaili, beliau ingin memberikan cerita sebenar sejak mula disoal siasat, tetapi tidak mempunyai sebarang kekuatan.

“Sekitar 2021, saya pernah dipanggil SPRM, tetapi ketika itu saya tidak berjumpa pegawai SPRM, tetapi saya berjumpa seorang daripada ahli pasukan pendakwaan, seorang wanita bertudung labuh.

“Sewaktu disoal oleh pendakwaan, masa itu saya berpeluang menceritakan segalanya. Cerita pertemuan di Hotel Intercontinental itu tidak benar,” katanya dalam keadaan sebak.

Hari ini, Norhaili mengekalkan keterangannya di mahkamah sebelum ini bahawa Bung tidak pernah meminta rasuah RM3.5 juta, dan ia bertentangan kenyataan kepada SPRM bahawa wang itu diminta Bung Moktar sebagai upah, dalam satu pertemuan di Hotel Intercontinental pada 4 Mei 2015.

Prosiding itu akan bersambung pada 28 Mac ini.

Pada 3 Mei 2019, Bung, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung yang merupakan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500, daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *