
KOTA KINABALU: Seorang bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 29 pertuduhan rasuah berjumlah RM1.29 juta.
Tertuduh, Abel Ongkunik, 50, yang juga bekas Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas semua tuduhan berkenaan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan, Abel dituduh menerima rasuah berkenaan daripada dua syarikat antara 2017 hingga 2018.
Dia didakwa menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM1,290,706.19 daripada Syarikat Alaf Kembara Sdn Bhd dan Syarikat Easport Sdn Bhd sebagai dorongan untuk memilih kedua-dua syarikat terbabit bagi kerja-kerja perkhidmatan penundaan kapal di pelabuhan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan wang pendahuluan sebanyak RM30,000 serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Nartiah F Mirchelle Sambatan, manakala tertuduh diwakili peguam Tetuan PJ Perira & Dasan. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost