Binatang Liar Punca Gangguan Bekalan Elektrik Di Sabah, Kata Menteri

Takiyuddin Hassan, berkata sebanyak 97.7% peratus masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah berlaku di peringkat sistem pengagihan dengan purata tempoh gangguan bekalan elektrik selama 332 minit tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Gangguan binatang liar dan lebihan beban berpunca daripada sambungan haram antara punca berlakunya gangguan bekalan elektrik di Sabah.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan, berkata sebanyak 97.7% peratus masalah gangguan bekalan elektrik di negeri itu berlaku di peringkat sistem pengagihan dengan purata tempoh gangguan bekalan elektrik selama 332 minit tahun lalu.

“Sebahagian besar gangguan bekalan elektrik di Sabah, sebanyak 97.7% berpunca daripada masalah di peringkat sistem pengagihan… antara faktor yang menyumbang kepada gangguan elektrik di peringkat pengagihan adalah gangguan binatang liar.

“Ini fakta yang diperolehi… (punca lain) pokok yang menganggu kabel, kerosakan kabel dan lebihan beban yang berpunca daripada sambungan haram,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu.

Terdahulu, Madius Tangau (UPKO-Tuaran) meminta kementerian itu menjelaskan apakah punca utama gangguan bekalan elektrik yang dihadapi Sabah, berbanding negeri lain.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memperuntukkan sebanyak RM1.36 bilion bagi menjayakan 32 projek dalam usaha mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah.

Katanya, KeTSA menyasarkan untuk mengurangkan kadar gangguan bekalan elektrik di Sabah kepada 150 minit menjelang 2025 susulan kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan.

“Ini perkara yang sedang dikaji pasukan petugas khas di kementerian bersama dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) untuk selesaikan masalah ini.

“Saya percaya peruntukan lebih RM1.0 bilion dalam setiap RMK juga dibuat untuk menyelesaikan masalah ini,”katanya.

Mengulas mengenai status tanah terbiar milik kerajaan pusat, Takiyuddin berkata tanah milik kerajaan pusat yang tidak dibangunkan kini boleh disewa atau dipajak oleh agensi kerajaan, swasta atau individu perseorangan bagi tujuan tidak kekal.

Beliau berkata, tanah terbiar itu pada dasarnya dimiliki oleh kerajaan pusat melalui cara pengambilan balik tanah yang mempunyai tujuan khusus, untuk jabatan pengguna namun tidak dapat dibangunkan atas faktor kekangan peruntukan.

“Projek yang dirancang ekoran pengambilan balik tanah itu tidak dapat dilaksanakan menyebabkan tanah ini terbiar.

“Untuk ini, langkah yang diambil oleh kerajaan, kita mencadangkan supaya tanah kerajaan persekutuan yang terbiar ditawarkan kepada agensi kerajaan, swasta atau orang perseorangan untuk disewa atau dipajak untuk digunakan apa-apa tujuan yang tidak kekal,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sehingga kini, terdapat 61 lot tanah di bawah status Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) telah disewa kepada individu untuk tujuan sektor ekonomi khususnya dalam bidang pertanian.

“Inilah dasar kerajaan terutama selepas Covid-19, rakyat agak sukar dalam bidang ekonomi, kerajaan beri peluang kepada rakyat jelata untuk menyewa atau memajak tanah bagi tujuan sektor ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, bagi tanah terbiar milik kerajaan negeri pula, permohonan untuk sewa dan pajak boleh dibuat melalui lesen pendudukan sementara daripada Pejabat Tanah Daerah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *