Kemenangan Besar BN Bukti Pengundi ‘Rindu Zaman Dulu’, Kata Penganalisis

Kemenangan Barisan Nasional di Johor semalam menunjukkan bahawa pembangkang perlu bersatu jika mahu menang dalam mana-mana pilihan raya, menurut penganalisis.

KUALA LUMPUR: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor menunjukkan bahawa pengundi mahu kembali ke “zaman dulu yang lebih baik” ketika ia masih berkuasa, kata penganalisis.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata kemenangan meyakinkan oleh BN dalam PRN Johor itu adalah petanda rakyat masih ingat dengan keadaan lebih baik satu masa dulu dari segi ekonominya ketika di bawah kerajaan BN yang memegang kuasa di peringkat pusat untuk lebih 60 tahun dan menjadikan negara pesat membangun.

“Terdapat satu perasaan nostalgia bahawa keadaan ekonomi adalah lebih baik di bawah BN berbanding sekarang, dengan pandemik dan ekonomi yang teruk. Sama ada ia benar atau tidak, itu soal lain,” kata Azmi.

“Ini sebabnya mengapa pengundi kembali kepada BN dan mengapa gabungan itu menunjukkan prestasi baik di Melaka dan kini, Johor.

“Rakyat ingin kembali ke zaman kemakmuran dulu, terutama orang Melayu yang membentuk majoriti daripada golongan berpendapatan rendah B40.”

Sementara itu, seorang lagi penganalisis mengaitkan kemenangan besar BN dengan perpecahan dalam pembangkang.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid juga dari USM berkata keputusan itu menunjukkan bahawa pembangkang perlu bersatu jika mahu menang dalam mana-mana pilihan raya.

“Ia menunjukkan bahawa untuk mengalahkan BN, peraturannya adalah kita tidak boleh mempunyai parti pembangkang yang berlawan sesama sendiri dalam pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Melihat bagaimana pembangkang bersatu pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, Ahmad berkata peluang BN dalam PRN semalam ditambah lagi dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, iaitu kira-kira 55%. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *