Sabah Tidak Pernah Dan Tidak Akan Iktiraf Tuntutan ‘Waris Kesultanan Sulu’ – Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan ‘waris Kesultanan Sulu’ terhadap negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Menyifatkan tuntutan itu sebagai “sesuatu yang tidak masuk akal,” beliau menegaskan bahawa Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Justeru, Hajiji menggesa rakyat agar bertenang dalam isu itu dan menyerahkan kepada pasukan perundangan kerajaan negeri dan persekutuan untuk menanganinya.

“Ia adalah satu tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak seharusnya dipertikai,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Pada Rabu lepas, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara memaklumkan Kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya award sebanyak US$14.92 bilion (RM62.6 bilion) yang kononnya perlu dibayar kepada ketrurunan Sultan Sulu terakhir iaitu Sultan Jamalul Kiram II.

Menurut laporan media, sebuah mahkamah timbang tara Perancis pada Isnin lepas memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian yang ditandatangani pada 1878 dan diperintah membayar sekurang-kurangnya US$14.92 bilion kepada keturunan Sulu Sultan yang terakhir itu. 

Award itu dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa pada 28 Feb lepas. Proses timbang tara yang bermula di Sepanyol itu telah dipindahkan ke Paris di mana award tersebut diputuskan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *