Lelaki Maut Dihanyutkan Arus Deras Bersama Kereta

Gambar Hiasan

SANDAKAN: Seorang lelaki berumur 26 tahun ditemui maut dalam kenderaannya selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Jambatan Sungai Mamanjang 50km dari sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Mohd Azhar Hamin berkata, kejadian pada 1.15 petang Selasa itu berlaku ketika air sungai melimpah susulan hujan lebat.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa, Kahar Asis keluar dari rumahnya ke tempat kerja di kilang minyak sawit Ladang Hassan dengan menaiki kenderaannya selepas rehat makan tengah hari.

“Mangsa dipercayai meredah kawasan tersebut dan akhirnya dihanyutkan arus deras ke sungai bersama kenderaannya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azhar, mayat mangsa ditemui dalam kenderaannya kira-kira 30m dari tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bersama agensi penyelamat lain mengeluarkan Proton Iswara itu menggunakan jengkaut.

Justeru, Azhar menasihatkan orang ramai tidak mengambil risiko meredah arus deras ketika paras air semakin naik susulan hujan lebat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *