Sabah Belum Cadang Tukar Gelaran Ketua Menteri Kepada Premier

Hajiji Noor menyempurnakan gimik pelancaran Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-Suri di Menara Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Sabah belum bercadang untuk mengikut langkah Sarawak menukar gelaran Ketua Menteri kepada “Premier”, kata Ketua Menteri, Hajiji Noor.

“Sabah belum ada cadangan itu. Saya ingat panggilan Ketua Menteri itu pun setakat ini cukup baik,” katanya ringkas selepas melancarkan Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-Suri (BAIDURI) di Menara Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, gelaran Ketua Menteri Sarawak secara rasmi ditukar kepada “Premier” mulai hari ini.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Amar Jaul Samion dilaporkan berkata, gelaran bagi Timbalan Ketua Menteri ditukar kepada Timbalan Premier, manakala Menteri Muda pula kepada Timbalan Menteri.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, seramai 42,097 wanita mendapat manfaat daripada inisiatif BAIDURI yang membabitkan peruntukan RM2.5 juta.

Katanya, BAIDURI adalah bantuan “one-off” berjumlah RM60 yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam bentuk dana awal caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada wanita dalam kategori e-Kasih disasarkan.

“Dengan melaksanakan inisiatif BAIDURI ini, kerajaan negeri memberi peluang wanita e-Kasih mendapat manfaat sebanyak RM480 seorang daripada kerajaan persekutuan melalui KWSP.

“Saya berharap pelaksanaan inisiatif ini memberi peluang kepada wanita, terutama suri rumah untuk menceburi bidang perniagaan dan membantu mereka menikmati keselamatan sosial berkualiti, selain meningkatkan keselamatan kewangan seperti yang dinikmati ahli KWSP lain.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *