Lebih 500 Kilogram Wayar Sambungan Haram Dirampas Di Lahad Datu

SESB merampas wayar yang digunakan untuk penyambungan haram dalam operasi bersepadu di Lahad Datu semalam. – Foto SESB

LAHAD DATU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas lebih 500kg wayar yang digunakan untuk penyambungan haram dalam operasi bersepadu di dua perkampungan setinggan di sini, semalam.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Idris Mohd Noor berkata, operasi yang turut disertai polis, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu bertujuan membanteras aktiviti penyambungan haram yang membahayakan nyawa penduduk.

“Aktiviti penyambungan haram seumpama ini bukan sahaja membahayakan nyawa penduduk, tetapi turut menyumbang kepada kes kemalangan seperti kebakaran.

“Pelaksanaan operasi ini juga bertujuan menyampaikan mesej kepada orang awam bahawa SESB mengambil serius penyambungan haram yang boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Idris berkata, SESB terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM800,000 ekoran kegiatan penyambungan haram di Lahad Datu setiap tahun.

Bagaimanapun katanya, kerugian terbabit bukanlah fokus utama SESB untuk membanteras aktiviti itu, sebaliknya keselamatan penduduk lebih diutamakan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sistem kad prabayar untuk pengguna di kawasan setinggan kini dalam proses untuk dimuktamadkan prosedur dan tatacara pembekalan di seluruh Sabah.

“Pelaksanaan sistem ini akan membolehkan SESB mengawal cara penyambungan elektrik agar keselamatan penduduk lebih terjaga.”

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *