Sabah Catat 11 Kematian Covid-19 Hari Ini

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 11 kematian akibat Covid-19 hari ini, dengan Tawau mencatatkan kes tertinggi, iaitu tiga kematian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun berkata, dua lagi kematian direkodkan di Penampang serta masing-masing satu kematian di Ranau, Nabawan, Kudat, Beaufort, Keningau dan Kota Kinabalu.

“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar. Takziah diucapkan kepada keluarga terlibat,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, jumlah kes harian di negeri itu terus mencatatkan penurunan, dengan 2,174 kes baharu dilaporkan, berkurangan 700 kes berbanding semalam.

“Penyusutan jumlah kes harian juga disebabkan jumlah ‘backlogs’ yang semakin berkurangan dalam statistik harian beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

“Sejumlah 2,150 atau 98.90% daripada 2,174 kes hari ini dalam Kategori 1 dan 2, lapan kes Kategori 3, 10 kes Kategori 4 dan enam kes Kategori 5.

“Sebanyak 246 kes hari ini juga melibatkan kanak-kanak berumur 11 tahun ke bawah yang belum divaksin, dengan 121 daripadanya belum layak mendapat vaksin, iaitu mereka yang berumur lima tahun ke bawah.”

Katanya, seramai 45,381 daripada 411,400 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun sudah divaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *