Mekanik Maut Dihempap Dump Trak Ketika Baiki Lori

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang dihempap dump trak lori dalam kejadian di Jalan Bundusan, Penampang di sini, pagi tadi.

PENAMPANG: Seorang mekanik maut selepas dihempap dump trak lori ketika membaiki enjin lori, dalam kejadian di Jalan Bundusan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, lelaki berusia 58 tahun dikatakan dihempap ‘Hydraulic Dump’ yang rebah secara tiba-tiba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.23 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, mangsa masih terperangkap bahagian enjin lori 10 tan berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *