Lagi Kluster Covid-19 Babit Sekolah Di Sabah

Sabah mencatatkan 5,007 kes Covid-19 hari ini. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, satu lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan institusi pendidikan diisytiharkan di Sabah, hari ini.

Katanya, Kluster Jalan Beluran Lama membabitkan pelajar asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran.

“Indeks kes adalah seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun dan dikesan positif melalui saringan bergejala pada 17 Feb.

“Saringan terhadap kontak rapat telah mendapati pertambahan 34 kes, secara keseluruhannya, jumlah kumulatif kluster ini ialah 35 kes positif setakat hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Masidi berkata terdapat dua kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Kayul di Kuala Penyu yang merupakan kluster komuniti dan Kluster Pandan-Pandan di Putatan iaitu kluster institusi pendidikan.

Beliau yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, kluster masih aktif di Sabah kini ialah sebanyak 41.

Terdahulu, Masidi berkata Sabah mencatatkan sebanyak 5,007 kes baharu iaitu menurun 352 kes berbanding semalam.

Bagaimanapun, katanya jumlah itu masih amat tinggi dan peratusan tinggi jangkitan sporadik adalah petunjuk kes harian di Sabah akan kekal tinggi dalam masa terdekat.

“Daripada jumlah kes baharu itu juga, 606 membabitkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum layak atau belum menerima vaksin dengan seramai 42 daripada 606 pesakit ini adalah bayi bawah umur satu tahun.

“Sementara itu, seramai 4,986 orang atau 99.58% daripada 5,007 pesakit hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, lima dalam Kategori 3, 13 orang dalam Kategori 4 dan tiga dalam Kategori 5,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *