TAWAU: Seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Tawau, kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan untuk membeli tiket penerbangan isteri dan anaknya.
Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan kira-kira jam 9 pagi, kelmarin.
Suspek lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai menggunakan jawatannya sebagai pengarah ketika bertugas di sebuah kolej awam di Sabah antara tahun 2017 hingga 2018 telah meluluskan tiket kapal terbang bagi isteri dan anaknya bernilai kira-kira RM6,000 yang sepatutnya kedua mereka tidak layak untuk kemudahan tersebut.
Difahamkan suspek telah menggunakan tiket kapal terbang itu bersama isteri dan anaknya ke Kuala Lumpur atas urusan kerja beberapa kali sedangkan kelayakan suspek hanya setahun sekali sahaja.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi telah mengesahkan tangkapan tersebut.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost