Masalah Di Sabah Agak ‘Besar’, Hamzah Pertahan Kad Warga Asing

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kaedah penyelesaian terbaru diperlukan dalam menangani isu membabitkan pendatang asing di Sabah.

KUALA LUMPUR: Masalah warga asing sudah menjadi “agak besar” di Sabah, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin ketika mempertahankan cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan langkah pemberian kad warga asing kepada pendatang di negeri itu.

Justeru katanya, sudah tiba masanya isu pendatang asing di negeri itu diselesaikan mengikut kaedah dan penyelesaian terbaru.

“Masalah warga asing di Sabah sudah menjadi agak besar…sudah tiba masanya kita perlukan kaedah baru untuk kenal pasti siapakah mereka sebenarnya.

“Kalau tidak, kita tangguh-tangguh lagi daripada melakukan sesuatu tindakan dan ini memerlukan ‘political will’… jadi kita mahu kerjasama daripada semua pihak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-17 APMM di sini.

Pada 10 Feb, Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan kini mempertimbangkan cadangan kerajaan Sabah untuk memberikan kad warga asing kepada pendatang di negeri itu.

Beliau berkata, ini selepas mengambil kira pertemuan dengan pegawai dari Sabah yang bersetuju bahawa “setiap orang yang tinggal di Sabah” mesti mempunyai kad warga asing atau dokumen sah.

Hamzah berkata, kad itu akan membolehkan warga asing bekerja di Malaysia secara sah dan anak mereka mendapat akses perkhidmatan sosial seperti pendidikan.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat kritikan daripada sebahagian pemimpin tempatan Sabah termasuk pemimpin agung masyarakat Kadazandusun Murut (KDM), Joseph Pairin Kitingan yang menyifatkannya sebagai mengundang ketakutan dan ketidaktentuan di Sabah.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, tindakan kerajaan untuk mewujudkan kad warga asing khusus bagi pendatang asing di negeri itu hanya untuk kepentingan rakyat Sabah semata-mata.

“Kerajaan lakukannya bukan ada kepentingan sesiapa tetapi hanya kepentingan rakyat negeri Sabah sebab kita nak kenal pasti siapakah mereka yang berada di Sabah,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan dan pendapat daripada mana-mana pihak bagi menambah baik cadangan yang sudah dikemukakan itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *