Tanah Runtuh: Petugas Balai Polis Tongod, Keluarga Dipindahkan

Hujan berterusan mengakibatkan tanah runtuh berhampiran Balai Polis Tongod

TONGOD, 14 Feb : Seramai 31 orang daripada sembilan keluarga petugas Balai Polis Tongod dipindahkan sebagai langkah keselamatan, susulan kejadian tunuh runtuh berdekatan dengan balai itu awal pagi Ahad.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam satu kenyataan hari ini berkata dua pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan iaitu Rumah Rehat Pejabat Daerah Tongod dan Rumah Rehat Majlis Daerah Tongod bagi menempatkan mereka.

“Dua PPS itu diaktifkan pada pukul 9 pagi tadi, dan keluarga terlibat dipindahkan bagi tujuan keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamaludin berkata kejadian berlaku kira-kira 2.45 pagi membabitkan runtuhan tanah di perkarangan balai polis itu.

Beliau berkata walaupun ia tidak melibatkan kerosakan pada struktur bangunan di balai polis berkenaan, keadaan tanah runtuh itu membimbangkan, dan petugas serta keluarga yang tinggal di kuarters balai polis itu diarahkan berpindah sebagai langkah keselamatan.

“Pihak bomba menutup bahagian runtuhan dengan kanvas dan memasang pita keselamatan di sekitar kawasan terjejas,” katanya ketika dihubungi hari ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *