Pairin Selar Hamzah Berhubung Kad Khas Warga Asing Sabah

Joseph Pairin Kitingan gembira Ketua Menteri, Hajiji Noor memaklumkan ‘kad warga asing’ masih di peringkat cadangan.

KOTA KINABALU: Pemimpin agung masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) menyelar tindakan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berhubung pengumuman melulu kerajaan sedang mempertimbang memberikan kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.

Joseph Pairin Kitingan yang juga bekas Ketua Menteri berkata: “Apa yang diumumkan dan disokong Menteri bukan sahaja mengundang ketakutan dan ketidaktentuan di Sabah, tetapi juga dilihat secara sengaja melanggar semangat Perlembagaan dan undang-undang imigresen kita.”

Pairin yang juga Huguan Siou, atau pemimpin agung masyarakat KDM, berkata cadangan itu bercanggah norma dan kepentingan rakyat Malaysia tulen yang patuh kepada undang-undang.

Beliau mendesak kerajaan mengurangkan salah faham dan salah maklumat berhubung cadangan berkenaan.

“Jangan memberi tanggapan kita meninggalkan rakyat kita sendiri. Kita mempunyai undang-undang imigresen yang tidak membenarkan rakyat asing masuk atau berada di negara ini tanpa dokumen sah imigresen, khasnya pasport sah. Mereka yang ditangkap tanpa dokumen sah mesti diusir.

“Apa yang diperlukan adalah penguatkuasaan ketat membabitkan undang-undang imigresen dan undang-undang lain, seperti pihak berkuasa tegas menguatkuasakan peraturan SOP Covid-19 kita.”

Sebelum ini, Hamzah dilaporkan berkata, kad pengenalan itu tidak akan memberi status kewarganegaraan mahupun penduduk tetap kepada pendatang asing, namun mereka dibenarkan bekerja secara sah dan anak mereka boleh ke sekolah.

Ketua Menteri, Hajiji Noor kemudian berkata, dokumen disebut Hamzah sebenarnya mencadangkan “kad warga asing”, yang mana kerajaan Sabah belum membuat keputusan berhubung perkara terbabit.

Pairin berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah pada 2012 mendapati kerajaan membelanjakan sekurang-kurangnya RM13 juta setahun untuk menguruskan pusat tahanan sementara sebelum menghantar mereka pulang.

Beliau mengalu-alukan kenyataan Hajiji bahawa tiada keputusan dibuat berhubung “kad warga asing”.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *