4 Lagi Kluster Baharu Di Sabah, 3 Babit Sekolah

Masidi Manjun berkata tiga kluster baharu membabitkan institusi pendidikan dikesan di Kunak serta Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, tiga daripada empat kluster baharu Covid-19 yang dikesan di negeri itu hari ini membabitkan institusi pendidikan.

Katanya, ia membabitkan kluster Madai 2 dan Jalan Getah di Kunak serta Jalan Gudon di Kota Kinabalu.

“Kluster Madai melibatkan SMK Madai dan indeks kes adalah seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang menjalani saringan kerana bergejala dan seterusnya disahkan positif. Jumlah kes kumulatif kluster ini ialah 40 kes, termasuk 10 kes baharu hari ini.

“Kluster Jalan Getah yang juga di Kunak melibatkan SMK Kunak, dengan kes indeks merupakan pelajar perempuan tinggal di asrama dan didapati positif setelah menjalani saringan kerana bergejala. Saringan ke atas kontak rapat mendapati 21 lagi positif, termasuk tiga kes baharu hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Di Kota Kinabalu, katanya, kluster Jalan Gudon melibatkan pelajar SMK Bandaraya Kota Kinabalu dengan kes indeks adalah seorang pelajar lelaki 17 tahun yang didapati positif setelah menjalani saringan kerana bergejala.

Beliau berkata, keseluruhan 22 kes dikesan setakat ini, termasuk lima kes baharu hari ini dan semuanya dalam kategori ringan, telah diasingkan dan diberi rawatan sewajarnya.

Masidi berkata, satu lagi kluster baharu yang dikesan hari ini ialah Sutera 2 yang membabitkan tempat kerja di Kota Kinabalu, dengan indeks kes ialah seorang kakitangan pengurusan di tapak pembinaan yang berusia 33 tahun.

“Kes indeks didapati positif setelah menjalani ujian saringan di sebuah klinik swasta kerana bergejala dan saringan ke atas kontak rapat kemudian mendapati 57 lagi pekerja dikesan positif,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata, jumlah kes baharu di Sabah menurun sedikit hari ini, iaitu 2,969 kes, kurang 364 kes berbanding semalam.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,953 kes atau 99.46% dalam Kategori 1 dan 2, manakala Kategori 3 (lapan), Kategori 4 (enam) dan Kategori 5 (dua).

“Ini bermakna hanya 16 orang memerlukan rawatan di hospital dan ini juga bukti nyata keberkesanan pengambilan vaksin,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *