Kad Khas Warga Asing Lama Menetap Di Sabah Akan Diperkenalkan – Hamzah

Hamzah ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) bilangan 1 tahun 2022 di Putrajaya. F

PUTRAJAYA: Kad khas untuk warga asing akan diperkenalkan untuk individu yang tiada dokumen pengenalan diri namun sudah lama menetap di Sabah.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, kad berkenaan bukanlah pemberian kerakyatan atau status penduduk tetap, sebaliknya untuk mengetahui keberadaan golongan terbabit di negeri berkenaan.

Menurutnya, cadangan itu diusulkan Kerajaan Negeri Sabah serta turut dibincangkan ketika mesyuarat pertama bagi Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) yang diadakan hari ini.

“Masalah di Sabah begitu sulit sekali, dia (warga asing) sudah tinggal lama dan kalau nak hantar balik, dia 30 tahun duduk sini dan mungkin sudah ada tiga atau empat generasi di sini.

“Warga asing ini juga ada yang tidak mengetahui kampung mereka di mana. Mereka ini tiada kad langsung, tiada dokumen dan sebab itu kita nak selaraskan kad warga asing kepada mereka, supaya kita dapat sahkan mereka itu warga asing.

“Berikutan itu, mesyuarat tadi meminta supaya melakukan pendataan semula warga asing ini bagi membolehkan pemberian kad berkenaan dapat dilaksanakan seawal Mei ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan JKPWAS-INDUK, di Kementerian Dalam Negeri, hari ini. Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hamzah berkata, disebabkan warga asing berkenaan sudah tinggal di negeri di bawah bayu itu terlalu lama, pemberian kad berkenaan bagi mengurangkan permasalahan pada masa akan datang.

“Jika bapanya sendiri tidak tahu identitinya, bagaimana nasib keturunannya nanti. Jadi dengan adanya kad itu, sekurang-kurangnya mereka boleh diambil bekerja seterusnya mampu membayar yuran persekolahan anak-anak.

“Ini yang sepatutnya kita lakukan pada masa depan, kena ada sedikit sifat berperikemanusiaan. Kita tidak mahu masalah yang membelenggu penduduk di Sabah ini dibiarkan dan akan menjadi lagi teruk pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata dalam mesyuarat yang sama, turut dipersetujui ialah pindaan Ordinan Kelahiran dan Kematian di Sabah. Ia adalah mengenai isu pendaftaran lewat kelahiran yang sedang diteliti di peringkat akhir dan mempertimbangkan tempoh pendaftaran kelahiran dari 42 hari kepada 90 hari. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *