‘Kami Tak Pernah Gaduh’, Hajiji Nafi Hubungan Dengan Bung Moktar Retak

Hajiji Noor (tengah) bersama Bung Moktar Radin (kiri) menghadiri majlis penutupan Kelab Ahli Penyokong GRS, di Kudat, semalam.

KUDAT: Ketua Menteri Hajiji Noor menafikan khabar angin mengatakan hubungannya dengan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan beberapa kepimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah retak.

Sebaliknya, beliau berkata hubungannya dengan Bung serta pemimpin lain dalam GRS sangat mesra malah semakin lama semakin kuat.

“Saya akan nyatakan dengan jelas, memandangkan Datuk Bung ada di sini, kami tidak pernah bertelagah (antara satu sama lain).

“Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap (kononnya bertelagah) tentang kami,” katanya ketika berucap sempena majlis penutupan Kelab Ahli Penyokong GRS, di sini, semalam.

Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata, hubungannya dengan pemimpin parti lain dalam GRS tetap utuh dengan bersandarkan pada ikrar bagi mempertahankan mandat rakyat yang diberikan kepada gabungan itu.

“Walaupun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS dan dengan (penjelasan) ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Max (Maximus Ongkili) dan Dr Jeffrey (Kitingan).

“Kita ada kurang empat tahun sebelum pilihan raya semula jadi apa yang perlu kita lakukan ialah bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan Sabah,” katanya.

Ketua Bersatu Sabah itu berkata, beliau memahami bahawa beliau tidak akan menjadi ketua menteri tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam GRS.

“Saya faham perkara ini, oleh itu kita perlu bekerja keras untuk rakyat dan juga tidak perlu berebut kerusi.

“Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *