Dua Pertiga Jangkitan Covid-19 Di Sandakan Kategori Satu Dan Dua

SANDAKAN : Dua pertiga daripada jumlah kes aktif COVID-19 di Sandakan adalah pesakit kategori satu dan dua meskipun daerah ini mencatatkan kes baharu harian tertinggi di Sabah sejak beberapa hari ini.

Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Dr Francis Paul berkata kebanyakan pesakit menjalani kuarantin di rumah terutama pesakit kategori satu yang tidak mengalami sebarang gejala dan kategori dua yang bergejala tetapi tidak menghidap penyakit kronik.

“Kita bersyukur yang dijangkiti ini kebanyakannya telah divaksin, jadi keadaan mereka tidak begitu serius.

“Diharapkan (mereka) yang dijangkiti kekal di peringkat satu dan dua sahaja kerana keadaan ini tidaklah akan membebankan pihak hospital dan penjaga kesihatan yang juga berisiko untuk dijangkiti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Sandakan di sini hari ini.

Sandakan mencatatkan kes baharu harian tertinggi di Sabah selama tiga hari berturut-turut dengan 1,100 kes aktif direkodkan hingga semalam.

Dr Francis turut melahirkan kebimbangan terhadap jangkitan membabitkan golongan kanak-kanak dan remaja berumur antara 11 dan 20 tahun yang semakin meningkat terutama pelajar yang berada di asrama.

“Masih ramai dalam kalangan remaja belum divaksin, jadi pihak hospital mengambil kesempatan untuk menasihat ibu bapa agar membawa anak-anak mereka untuk divaksin,” katanya.

Berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di Sandakan, Dr Francis berkata pihaknya menyediakan 211 katil dengan 71 katil diletakkan di HDOK, PKRC Dewan Rafflesia Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sandakan (40) manakala PKRC Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Sandakan (100).

Beliau berkata jika keadaan memerlukan, pihaknya mempunyai kapasiti untuk menambah 250 katil lagi iaitu tambahan 100 katil di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Sandakan dan membuka asrama Kompleks Sukan Sandakan sebagai PKRC yang boleh menampung hingga 150 katil.

“Kita menjangkakan peningkatan kes secara mendadak dalam 14 hari hingga sebulan lagi. Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard terutama mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan serta mengelak tempat kunjungan ramai,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *