Ajaran ‘Wali Tujuh’ Dikhuatiri Ancam Keselamatan Sabah

Mohd Arifin (dua kanan) ketika menghadiri Majlis Maulid dan Tahlil Perdana sempena Hari Kastam Sedunia Ke-40 di Kota Kinabalu, malam tadi.

KOTA KINABALU: Ajaran meragukan dibawa kumpulan ‘Wali Tujuh’ yang didakwa mengamalkan ilmu batin dan kebal dikhuatiri mampu menimbulkan ancaman keselamatan ke atas Sabah.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata perkara yang bertentangan agama Islam mudah menjadi ekstrem serta menyeleweng daripada akidah sehingga boleh melakukan sesuatu kekerasan dan sebagainya.

“Ia tidak mustahil (ancaman keselamatan) dan sebab itu kita perlu penjelasan kerana tidak mahu ada nilai-nilai yang bertentangan dengan agama.

“Ini adalah kelebihan pegangan berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sederhana. Apabila mengikut ajaran al-Quran dan sunnah, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Maulid dan Tahlil Perdana sempena Hari Kastam Sedunia Ke-40 di Surau Al-Abid, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar dan Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Julaiman Soimin.

Mengulas lanjut, Mohd Arifin memaklumkan kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pejabat Mufti Sabah mengenai tindakan susulan berkaitan ajaran ‘Wali Tujuh’ berikutan penahanan tiga pengikutnya, baru-baru ini.

“Bahagian Penguat kuasa JHEAINS dan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS daerah sudah diarah untuk membuat siasatan mengenai ajaran sesat berkenaan.

“Hasil siasatan akan dibawa ke pejabat Mufti untuk mendapatkan pandangan hukum berhubung dengan ajaran terbabit.

“Ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau ajaran sesat yang menyeleweng boleh diambil tindakan mengikut Enakmen Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS),” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *