Tiga Lagi Kluster Pendidikan Direkodkan Di Sabah Hari Ini

Masidi Manjun berkata tiga lagi kluster Covid-19 dikesan hari ini, satu daripadanya di sebuah sekolah di Tuaran. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 27 Jan : Tiga kluster COVID-19 membabitkan institusi pendidikan direkodkan di Sabah hari ini menjadikan keseluruhan 10 kluster kategori itu dicatatkan di negeri itu sejak minggu lepas, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap berkaitan COVID-19 di Sabah itu berkata tiga kluster institusi pendidikan yang dikesan hari ini adalah Kluster Jalan Terusan di Lahad Datu melibatkan 10 kes, Kluster Jalan Kiulu di Tuaran (15 kes) dan Kluster Puri Seberang Keningau di Keningau (19 kes).

Masidi Manjun

Beliau berkata Kluster Jalan Terusan melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan, Kluster Jalan Kiulu melibatkan SMK Tun Fuad manakala Kluster Puri Seberang Keningau membabitkan SMK Keningau 1. 

“Semua pelajar yang positif dikategorikan sebagai bergejala ringan kategori 1 dan 2, dan telah diasingkan serta diberikan rawatan selanjutnya,” menurut beliau dalam kenyataan malam ini.

Tujuh lagi kluster institusi pendidikan di Sabah ialah di Kota Marudu (Kluster Jalan Teritipan), Tawau (Kluster Jalan Balung), Putatan (Kluster Pandan-Pandan),  Sandakan (Kluster Jalan Pertukangan), Tambunan (Kluster Jalan Kepayan Lama) serta Kluster Puri Ranau dan Kluster Bypass Kologon di Ranau. 

Masidi juga berkata sebanyak 342 kes baharu positif COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif 246,754 dan 136 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 238,521 kes pulih manakala 748 orang masih menerima rawatan.

“Jangkitan baharu yang agak tinggi di setiap daerah agak membimbangkan dengan enam daerah mencatatkan jumlah kes baharu yang tinggi iaitu Kota Kinabalu (60 kes), Sandakan (40), Kota Marudu (34), Beaufort (34), Tuaran (33) dan Putatan 24 kes,” katanya. -BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *