Padah Tanam Ganja Suka-Suka, Lelaki Dipenjara Seumur Hidup & Enam Sebatan

Azril Surash (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.

TAWAU: Seorang lelaki dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah memiliki dan menanam 12 pokok ganja, dua tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, menjatuhkan hukuman itu terhadap Azril Surash Masree Samy, 45, selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 6B(3) Akta yang sama.

Terdahulu, Awang Kerisnada berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah melalui keterangan tertuduh dan saksi sepanjang tempoh perbicaraan.

Beliau berkata, pihak pendakwaan sebaliknya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Oleh itu, selepas mengambil kira dan mempertimbangkan semua keterangan, fakta kes dan faktor kepentingan awam, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan,” katanya.

Tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang melakukan serbuan di rumah teres dua tingkat di Taman Mega Ria, Batu 3 Jalan Air Panas, dekat sini, kira-kira jam 5.30 pagi 3 Ogos 2020.

Ketika disoal siasat suspek mengaku mengetahui jenis pokok ditanam itu adalah ganja, selain memaklumkan ia ditanam hanya untuk suka-suka.

Tertuduh juga pada 22 April lalu, dihukum penjara 14 bulan selepas mengaku bersalah kerana memiliki ganja mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya .

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa, Raya Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh diwakili peguam Mark Rosaidey dan Muhammad Nazreen Jaafar. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *