KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 20 rumah musnah dalam kebakaran di kawasan setinggan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Kolombong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 4 pagi, bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa namun terdapat seorang lelaki dilaporkan mengalami sesak nafas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 pagi.
Katanya, sepasukan 28 anggota dan pegawai bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penampang dan Kota Kinabalu dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan rumah setinggan berkeluasan 5,574 meter persegi.
“Operasi mengawal api segera dilakukan bagi mengelak daripada terus merebak ke sebahagian besar lagi rumah setinggan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, terdapat seorang mangsa dilaporkan mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.
Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 5 pagi dan usaha memadamkan api kebakaran masih sedang giat dijalankan.
“Sebarang perkembangan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. -BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost