RAWANG : “Suami saya memang ada penyakit jantung dan darah tinggi. Kematian dia bukanlah disebabkan dos penggalak seperti dakwaan tular itu,” kata Rabunah Abdu Rashid, isteri kepada Hamsan Hashim, 54.
Hamsan yang juga pekerja kilang di Shah Alam meninggal dunia ketika menikmati sarapan di sebuah restoran di Bukit Sentosa, di sini, pagi hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mendakwa kematian Hamsan disebabkan serangan jantung dan baru sahaja selepas mengambil dos penggalak.
Rabunah, 49, berkata, dia hanya mengetahui mengenai dakwaan itu selepas dihubungi pegawai penyiasat kes berkenaan kira-kira jam 4 petang.
“Sebelum kejadian, suami memaklumkan dia mahu bersarapan dengan rakannya di restoran berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah kami sebelum pergi ke tempat kerja.
“Dalam jam 7.15 pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang yang memaklumkan suami pengsan di restoran terbabit sebelum saya bergegas ke sana.
“Sebaik tiba, saya melihat suami sudah tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau yang juga suri rumah berkata, suaminya menghidap penyakit jantung serta darah tinggi sejak lima tahun lalu dan menjalani pemeriksaan perubatan setiap bulan di Hospital Selayang.
“Suami memang baru sahaja mengambil dos penggalak pada 12 Januari lalu, namun dia tidak mengeluh atau menunjukkan mengalami sebarang simptom serius kecuali lenguh pada bahagian tangan.
“Apabila saya dimaklumkan oleh pihak polis mengenai dakwaan itu, saya amat terkejut kerana saya tidak pernah menyatakan dalam laporan kematian suami ada kaitan dengan dos penggalak,” katanya.
Beliau meminta orang ramai supaya menghentikan menyebarkan berita palsu berkenaan kerana pengambilan dos penggalak bukan penyebab kematian suaminya.
“Saya minta mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu ini supaya berhenti berbuat demikian. Saya dan keluarga termasuk tiga anak kami berusia antara 20 hingga 13 tahun reda dengan pemergian suami,” katanya.
Menurutnya, jenazah Hamsan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Beruntung kira-kira jam 3 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 7 pagi.
“Pemeriksaan oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Serendah mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia.
“Isteri lelaki terbabit juga mengesahkan dia menghidap penyakit jantung serta darah tinggi sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan di Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Arsad berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat.
“Hasil ujian saringan dilakukan mendapati lelaki itu negatif Covid-19 dan pihak doktor mengesahkan punca kematian disebabkan sakit jantung kronik (coronary artery disease).
“Siasatan awal pihak polis juga mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian lelaki berkenaan yang tular di media sosial. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost