Kluster Baharu Di Sabah Babitkan Sekolah Berasrama – Masidi

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Jalan Kepayan Lama di Tambunan adalah membabitkan sebuah sekolah.

Katanya, kluster terbabit tercetus di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan dengan kes indeks ialah seorang pelajar asrama berusia 18 tahun.

“Kes indeks didapati positif setelah menjalani ujian kendiri dan ujian pengesahan Covid-19 RTK Antigen kerana bergejala.

“Saringan Covid-19 seterusnya telah dibuat ke atas kontak rapat iaitu dalam kalangan rakan-rakan seasrama dan didapati 34 orang lagi positif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi berkata, siasatan lanjut yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan setakat ini, jangkitan dan penularan virus terhad dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama sama.

Katanya, kesemua pelajar yang didapati positif telahpun diasingkan untuk rawatan yang sesuai.

Terdahulu, beliau berkata, sebanyak 213 kes baharu dicatatkan di Sabah hari ini, menurun 53 kes berbanding semalam

Katanya, Kota Kinabalu mencatatkan 47 kes baharu dengan penurunan 23 kes berbanding jumlah semalam tetapi kekal penyumbang kes harian tertinggi di negeri ini.

“Daerah Tambunan menjadi penyumbang kedua tertinggi hari ini dengan 36 kes, di mana 34 daripada kes tersebut datang daripada satu kluster baharu.

“Sebanyak 209 daripada 213 kes yang direkodkan adalah dalam kategori 1 dan 2, manakala terdapat empat kes dalam kategori 3 dan tiada kes dalam Kategori 4 dan 5,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *