Lebih Ramai Kanak-Kanak Bawah 12 Tahun Di Sabah Positif Covid-19

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bimbang dengan peningkatan jumlah kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang dijangkiti wabak Covid-19 di negeri itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Masidi Manjun berkata, daripada 253 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, 50 kes membabitkan kanak-kanak 12 tahun ke bawah yang belum layak divaksin.

Ia meningkat daripada 31 kanak-kanak yang dilaporkan dijangkiti virus itu sehari sebelumnya.

“Statistik jangkitan membabitkan kanak-kanak 12 tahun ke bawah agak tinggi dan membimbangkan.

“Kami berharap ibu bapa dan juga guru di sekolah mengambil langkah berjaga-jaga dan inisiatif diperlukan untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan mereka yang belum layak untuk vaksinasi,” katanya dalam analisis wabak Covid-19 hari ini.

Katanya, beliau bimbang dengan jumlah kes hari ini, iaitu peningkatan sebanyak 92 kes berbanding semalam.

Beliau berkata, 45.8% kes dikesan daripada saringan kontak rapat, menghampiri 43.1% kes yang dikesan daripada saringan simptom secara rambang.

“Ini jelas menunjukkan penularan Covid-19 secara berleluasa dalam komuniti dan juga individu yang mengabaikan SOP.

“Kami berharap lonjakan secara mendadak ini bukan disebabkan orang ramai yang menyambut Tahun Baharu dengan melanggar SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan.”

Beliau turut memberi amaran jumlah kes akan meningkat jika rakyat terus mengabaikan pematuhan SOP. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *