Suami Isteri Rentung Tragedi Lebih 40 Rumah Dijilat Api

Lebih 40 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama, tengah malam tadi.

TAWAU: Sepasang suami isteri rentung dalam kebakaran membabitkan lebih 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama, dekat sini, tengah malam tadi.

Mayat Saiful Rosli, 32, dan Jumaidah M Jida, 36, ditemui pasukan bomba antara jam 4.45 hingga 5.50 pagi tadi selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr, berkata sepasukan 25 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.32 tengah malam.

Beliau berkata, tujuh lagi mangsa pula melecur, termasuk tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun.

“Seorang mangsa terbabit, Abdul Mutalib Suma, 45, melecur 86 peratus.

“Selain itu, seorang lelaki dan seorang remaja perempuan masing-masing berumur 26 dan 18 tahun melecur hingga 17 peratus.

“Semua mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Julius berkata, operasi memadamkan api itu membabitkan penggunaan sumber air dari tangki jentera dan sumber air terbuka (parit).

“Kebakaran terkawal pada jam 2.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi tadi,” katanya sambil memaklumkan punca kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *