4 Dalang Pengedaran Ganja Di Sekitar Kota Kinabalu & Penampang Ditahan

KOTA KINABALU: Empat dalang sindiket pengedaran ganja yang berjaya ditahan polis daerah ini dalam tiga operasi yang dijalankan secara berasingan, semalam.

Semua keempat-empat individu termasuk seorang wanita berusia 23 hingga 30 tahun berkenaan berjaya ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bermula jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, serbuan pertama berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun bersama 68.31 gram dadah di Taman Milek, di sini.

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Lido Avenue, Penampang, bersama 39.55 gram ganja.

“Pasukan operasi kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Millennium Court, di sini, dan menahan pasangan kekasih berusia 29 dan 30 tahun.

“Hasil serbuan, pasukan operasi berjaya merampas 211.60 gram ganja yang disembunyikan di dalam sebuah beg di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, semua suspek yang ditahan adalah warganegara tempatan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Katanya, siasatan turut mendapati, semua dadah berkenaan diperolehi daripada pembekal ganja di Kuala Lumpur dan mereka menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar ganja berkenaan. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *