Bantuan Akan Dihantar Ke Sabah Beberapa Hari Lagi – PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Sabah akan disalurkan segera.

“Kita akan hantar bantuan itu dalam beberapa hari lagi. Apa yang penting, keadaan di sana terkawal,” katanya.

Beliau memberi jaminan itu kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor ketika mesyuarat khas pasukan petugas pengurusan bencana banjir Monsun Timur Laut yang diadakan secara maya, pagi tadi.

Hajiji sebelum itu memberi taklimat kepada Ismail yang mempengerusikan mesyuarat khas itu.

Setakat pagi tadi katanya, Kota Marudu, Pitas, Paitan, Ranau, Sandakan dan Telupid terjejas akibat banjir.

“Kita telah membuka 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terjejas bagi menampung 874 keluarga yang membabitkan 2,435 mangsa banjir.

“Semua agensi berkaitan yang diarahkan untuk membantu mangsa banjir telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya.

ajiji Noor (dua dari kiri) menghadiri mesyuarat khas pasukan petugas pengurusan bencana banjir Monsun Timur Laut yang diadakan secara maya pagi tadi. – Foto JKM

Hajiji berkata, setakat ini, Sabah telah menerima RM200,000 dengan RM674,000 lagi diperlukan sebagai bantuan kewangan untuk setiap keluarga terjejas.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri turut mengagihkan bakul makanan kepada mangsa.

“Jadi, adalah baik kerajaan persekutuan mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan kepada Sabah. Saya juga memberitahu Perdana Menteri bahawa kerajaan negeri sedang menunggu laporan kerosakan infrastruktur akibat banjir di semua daerah terjejas.”

Terdahulu, kerajaan persekutuan mengumumkan setiap keluarga yang terjejas banjir akan diberi bantuan wang ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *