Bayi Maut, Empat Parah Kereta Terbabas Di Jalan Kimanis-Keningau

Pasukan bomba mengangkat mangsa yang cedera dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.

PAPAR: Seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala empat lagi parah selepas kereta yang dinaiki keluarga berkenaan terbabas dalam kejadian di Jalan Kimanis-Keningau, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terus merempuh bukit di tepi jalan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.24 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati terdapat lima mangsa membabitkan satu lelaki, tiga wanita dan seorang bayi lelaki.

“Mangsa bayi lelaki berusia setahun terbabit kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Empat lagi mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Papar, untuk rawatan selanjutnya menggunakan ambulans dan van EMRS. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.53 malam,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *