
KINABATANGAN: Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Jalan Paris Satu, Kampung Paris, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa yang tersepit dalam kenderaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum dikeluarkan anggota bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.58 pagi.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMax yang terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Terdapat sembilan mangsa terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki. Seorang mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia.
“Lapan mangsa yang cedera diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini identiti semua mangsa belum diketahui. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost