‘Long Tiger’ Ditahan Bersama ‘Pondan’, 13 Hari Selepas Lolos

Lelaki etnik Rohingya, Abdul Hamim Ab Hamid, 32, atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ diberkas bersama seorang pondan di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah, hari ini.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai “Long Tiger” yang dilaporkan melarikan diri dari lokap Mahkamah Tangkak, di Johor, diberkas bersama seorang pondan di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Semasa tangkapan pada jam 3.15 petang oleh polis Bukit Aman itu, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah.

Pemeriksaan di rumah itu, polis menahan seorang pondan berusia 46 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan, mengesahkan lelaki berketurunan Rohingya itu, berjaya ditahan.

Jalil berkata, tangkapan dilakukan dalam satu operasi khas yang dilaksanakan bagi memburunya.

“Ya, dia ditahan di Sungai Petani. Ketua Polis Johor akan keluarkan kenyataan mengenai perkara itu,” katanya menurut laporan Utusan.

Terdahulu Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.

Baru-baru ini, polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger.

Pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Malah, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sementara itu, Long Tiger juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *