Pengembara 11 Negara Wajib Jalani Kuarantin Sebelum Masuk Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menetapkan pengembara dari 11 negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib sebelum memasuki negeri itu berkuat kuasa 28 Dis (Selasa) ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata pengembara yang terlibat adalah dari United Kingdom, Arab Saudi, Australia, Norway, Perancis, Kanada, Denmark, Nigeria, Amerika Syarikat, India dan Pakistan.

“Pengembara hendaklah menjalani kuarantin wajib melalui Pintu Masuk Antarabangsa Pertama di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan sebelum dibenarkan untuk memasuki atau meneruskan penerbangan ke Sabah,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan 108 kes COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif 239,590 kes dengan satu kematian dilaporkan di Kota Belud.

“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 222 menjadikan jumlah kumulatif (sembuh) 232,293 orang, manakala 678 pesakit sedang menerima rawatan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *