Luruan Monsun : JBPM Sabah Bersedia Hadapi Sebarang Kemungkinan

Pengarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersiapsiaga untuk menghadapi sebarang keadaan monsun timur laut yang dijangka bermula esok.

Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail berkata, persediaan itu membabitkan seluruh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini selari dengan ramalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Katanya, mengikut kenyataan jabatan meteorologi, fenomena itu luruan monsun dengan membawa angin sejuk dari Siberia dijangka berlaku mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.

“Keadaan ini mungkin akan mengakibatkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan lain-lain bencana.

“Sehubungan itu, orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan berkenaan diminta untuk lebih peka dan sentiasa berwaspada,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Md Ali berkata, mereka yang merancang untuk menjalankan aktiviti-aktiviti riadah seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau aktiviti pendakian di kawasan-kawasan berkenaan juga digalakkan supaya menangguhkannya sebagai persediaan awal.

Malah katanya, JBPM Sabah juga diletakkan dalam keadaan bersedia dengan meletakkan aset-aset di lokasi strategik.

“Ia bagi membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan sentiasa berkoordinasi dengan agensi-agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah atau Negeri untuk bertindakbalas sekiranya diperlukan,” katanya.

Menurutnya, ia selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.20, Mekanisme Pengurusan Bencana di Malaysia.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *