Pemilik & 82 Pengunjung Pusat Hiburan Di Penampang Dikompaun RM148,000

Pusat hiburan beroperasi melebihi masa diserbu di Jalan Penampang Baru di sini semalam.

PENAMPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kompaun sebanyak RM148,000 kepada pengunjung dan pemilik sebuah pusat hiburan.

Kompaun berkenaan dikeluarkan, selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), awal pagi tadi.

Serbuan jam 1 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, serbuan dijalankan hasil aduan yang diterima daripada orang awam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pengunjung yang berada di dalam premis itu tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Selain itu, ada juga pengunjung yang didapati tidak membuat imbasan kod MySejahtera ketika memasuki premis berkenaan.

“Kompaun dikeluarkan kepada 82 pengunjung dan setiap seorang dikenakan kompaun RM1,500,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pemilik premis ditahan mengikut Seksyen 3 Public Entertainment Ordinance 1958 dan dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 menjadikan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM148,000.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihatkan orang ramai supaya berkunjung ke pusat hiburan yang beroperasi secara sembunyi.

“IPD Penampang tidak akan berdiam diri dan sentiasa menjalankan risikan dari semasa ke semasa dalam usaha menghentikan wabak Covid-19 di negara ini khususnya masyarakat daerah Penampang,” tegasnya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *