Biarpun Wabak, GRS Masih Mampu Bawa Kemajuan, Kata Hajiji

Hajiji Noor (tengah, bertopi oren) beramah mesra dengan penerima bakul makanan dan sumbangan wang tunai ketika acara sempena Krismas di Tuaran, hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam hala tuju baik untuk memajukan Sabah dan rakyatnya walaupun berdepan cabaran akibat wabak Covid-19.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, kerajaan negeri tetap melaksanakan perancangan pembangunannya, sekalipun berdepan krisis kesihatan.

“Kami telah melakukan yang terbaik menangani cabaran dihadapi sepanjang hampir dua tahun,” katanya dalam ucapan Krismas dan Tahun Baharu, hari ini.

“Kami tidak sabar menantikan 2022 bagi memastikan agenda pembangunan kami seperti digariskan dalam Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Bajet 2022 negeri berjalan lancar.”

Katanya, pelan pembangunan lima tahun SMJ kerajaan GRS telah dimulakan Mac lalu, dengan tiga pelaburan besar bernilai RM10 juta, iaitu Lok Kawi Resort City, sebuah loji pembuatan kerajang tembaga serta projek tanaman kelapa bersepadu.

“Semua ini penting dan mampu membawa impak besar kepada rakyat Sabah serta ekonomi negeri,” katanya.

Tambahnya, Sabah juga dalam landasan betul untuk menjadi pusat pangkalan data pelabur bagi ASEAN, selaras rangka pembangunan kerajaan GRS.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas kepercayaan dan sokongan berterusan kepada GRS dalam memimpin dan membangunkan negeri itu.

Katanya, beberapa tuntutan Sabah telah diselesaikan menerusi majlis khas bagi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini susulan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 diluluskan di Parlimen, yang mengembalikan status Sabah dan Sarawak seiring Semenanjung, katanya.

Sebagai penutup tahun yang produktif, beliau berkata, satu lagi kejayaan adalah perjanjian kolaborasi komersial antara Petronas dan kerajaan negeri menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah.

Hasilnya, pembentukan SMJ Petroleum Sdn Bhd, syarikat minyak dan gas yang dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *